Kali pertama berkunjung ke Pertak bersama-sama Abang Adi (9w2BCT), bagai pepatah pucuk dicita ulam mendatang. Sudah lama satu lokasi dicari-cari untuk mengadakan Kem Motivasi, maka setelah dinilai dan dikaji dari beberapa aspek dan lokasi yang telah dikunjungi, Pertak yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan dari Kuala Kubu Baharu telah dipilih secara sebulat suara. Beberapa siri lawatan telah diadakan bagi menentu-pastikan kesesuaian tempat ini sebagai lokasi kem motivasi yang bakal diadakan. Kawasan ini merupakan kawasan hutan simpan orang asli yang diketuai oleh Batin Tok Bida yang dihuni lebih 200 orang. Jarak tapak perkhemahan dengan jalan utama adalah sejauh 2.3km dan dari penempatan orang asli kira-kira 2km ke dalam hutan.
Kali pertama kunjungan dibuat, laluan untuk sampai ke tapak amat memeritkan dengan batu besar di atas jalan tanah merah, tetapi pada masa itu agak bernasib baik kerana pakar 4x4 iaitu 9w2BCT yang memandu Land Rover Defender 110, jadi tiada masalah untuk sampai ke tapak aktiviti. Semasa masuk ke tempat ini pada 24/02/2010, agak mengejutkan kerana laluan hampir telah diratakan melainkan pada jarak kira-kira 50 meter sahaja dari basecamp terdapat seketul batu besar yang masih menghalang laluan. Secara keseluruhannya, tak perlu lagi 9w2BCT menunda kenderaan 4x4 9w2TSE sekiranya ingin berkunjung ke sini, bawa Proton Saga pun boleh masuk dah.
Dari pengalaman semasa berada di sini, berbagai acara sesuai dijalankan walaupun kawasan agak terhad dan berbahaya termasuklah banyak tebuan tanah. 7 peserta dan fasilitator telah disengat serangga ini dan dihantar ke Klinik Kesihatan KKB untuk rawatan. Kem motivasi ini telah berjaya dijalankan dengan penyertaan hampir 50 peserta lelaki dan wanita selama 5 hari 4 malam. Pergerakan keluar dari kawasan ini pada tengahari 28/02/2010 berjalan lancar dan konvoi hampir 2 jam sampai di Kuala Lumpur dengan selamat.
9w2SCY - ketua aktiviti
9w2SEU - ketua fasilitator
taklimat kepada peserta


















