Riwayat Hidup
Beliau merupakan bapa saudara kepada Rasulullah SAW, iaitu sebelah bapa. Dilahirkan pada tahun 570 masihi, di Kota Mekah al-Mukarramah. Beliau sangat rapat dengan Rasulullah sejak kecil dan hobinya suka memanah dan memburu. Beliau pernah memukul Abu Jahal yang menampar Rasulullah SAW. Beliau juga digelar 'Asadullah' (bermaksud singa Allah) kerana keberaniannya di medan perang. Juga digelar “Sayyidus Syuhada” (penghulu orang yang mati syahid) kerana mati dalam peperangan Uhud pada tahun ke 3 hijrah dan dikebumikan berdekatan Bukit Uhud.
Sifat Peribadi
1. Sangat Menjaga Tingkahlaku
Beliau tidak pernah terbabit dengan adab jahiliah yang buruk seperti berjudi, berzina & berpoya-poya.
2. Gagah dan Berani
Beliau menyahut cabaran melawan 2 orang tentera musyrikin dalam perang Badar. Banyak membunuh musuh dalam perang Uhud dan merupakan pemegang panji-panji tentera Islam dalam beberapa peperangan. Beliau juga melindungi Rasulullah SAW dari ancaman pihak Quraisy.
3. Cekal Hati dan Pantas Bertindak
Beliau ditugaskan sebagai Ketua Peninjau pergerakan musuh di antara Makkah dan Syam. Telah dipilih oleh Rasulullah sebagai panglima perang dalam perang Badar. Beliau merupakan seorang yang bijak mengatur strategi perang dan melancarkan serangan dengan tersusun ketika perang meletus hingga memberikan kemenangan kepada pihak Islam.
Pengislaman Saiyidina Hamzah
Suatu hari Abu Jahal telah menghina dan mecerca Rasulullah di Bukit Safa, pada ketika Saiyidina Hamzah sedang berburu. Dalam perjalanannya pulang, beliau diberitahu tentang penghinaan itu oleh 2 orang wanita. Saidina Hamzah sangat marah dan mencari Abu jahal yang sedang berbincang dengan pembesar Quraisy di Masjidil Haram. Beliau memukul kepala Abu Jahal dengan busar panahnya hingga berlumuran darah. Kemudian beliau berkata :" Sesiapa yang berani menghalang dan mencabar aku silakan! telah jelas kepadaku bahawa Muhammad itu ialah Rasul Allah dan ajaran yang dibawanya adalah benar. Demi Allah aku ialah pengikut Muhammad. Kalau kamu berani halanglah aku" Inilah detik pengislaman Saiyidina Hamzah. Sikap Saiyidina Hamzah ini didorong oleh perasaan kasih dan cinta kepada Rasulullah dan Kebenaran yang dibawa oleh baginda. Pengislamannya ini menyebabkan umat Islam semakin kuat dan dihormati, oleh itu pemimpin Quraisy tidak berani lagi menindas umat Islam sesuka hati mereka.
Sumbangan Dan Pengorbanan
- Melindungi Rasulullah SAW dari ancaman musuh.
- Menyertai semua peperangan dan memainkan peranan penting dalam peperangan.
- Banyak berkorban untuk menegakkan agama Allah SWT.
- Mengambil berat tentang persaudaraan tanpa mengira kedudukan.
- Membantu perkembangan dakwah Islam hingga dihormati masyarakat luar
Saiyidina Hamzah Gugur Syahid
Beliau gugur syahid setelah ditikam dengan lembing oleh Wahsyi dalam peperangan Uhud. Hatinya dilapah oleh Hindun bt Utbah kerana ingin membalas dendam di atas kematian bapanya.